Redup-redup reformasi tanpa Fadhil Noor…


Kempen ‘Selamatkan Malaysia’ tentunya suatu isyarat yang jelas kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa walau dengan apa cara sekalipun, Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti mahu dibawa ke penjara.

Kalau tidakpun di Kem Kemunting menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) seperti era Reformasi 1997 lalu, setidak-tidaknya menggunakan Mahkamah yang ada untuk menghalalkan fitnah liwat Si Saiful Bukhari ini.

Kalau benarlah Anwar akhirnya ke penjara, saya tidak dapat membayangkan apa akan jadi kepada muafakat bersama Pakatan Rakyat dan Pas sendiri.

Saya menyimpan sedikit kebimbangan, takut-takut DAP akan ke Barat dan PKR akan ke Timur.

Saya bimbang Pas pula mungkin menunggu pinangan kedua Umno atas nama ‘Kerajaan Perubahang’, bukan ‘Kerajaan Perpaduang’ lagi.

Mengimbau era Reformasi 1998, Anwar bertuah kerana mempunyai sahabat budiman seperti allahyarham Datuk Fadhil Mohd Noor.

Ketika itu, rakyat yang bersimpati dengan Anwar seperti hilang punca apabila Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamed (kini digelar Tun) mengetepi bekas Timbalan Perdana Menteri itu secara hina dan fitnah; mujur Ustaz Fadhil tidak duduk diam.

Ustaz Fadhil begitu cermat membaca trend penolakan rakyat terhadap Dr. Mahathir sehingga bekas Perdana Menteri itu pernah digelarkan sebagai Maha Firaun.

Yang bersimpati dengan Anwar ini mungkin adalah kenalan-kenalan lama dari Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang pernah menyeberang bersama-sama Anwar ke kem Umno pada zaman ‘penentuan sikap’, 1982 lalu.

Atau mereka ini mungkin adalah teman-teman dari Jamaah Islah Malaysia (JIM) yang percaya masih ada ruang untuk melaksanakan dakwah di dalam kerajaan, bak usaha Musa di istana Firaun.

Atau mungkin mereka ini adalah masyarakat Islam yang berasa diri cukup liberal serta sekular sehingga malu untuk bertandang di teratak Pas.

Atau mungkin juga mereka ini adalah masyarakat bukan Islam berbangsa Thionghua atau mungkin berbangsa India yang begitu menyegani keluhuran budi Anwar sewaktu di gigi kekuasaan.

Semua ini dilihat dengan penuh cermat oleh Ustaz Fadhil.

Kalau orang Islam tarbiahan Abim atau Jim, mungkin mudah menyeberang ke kem Pas kerana sudah lazim hidup secara Islamik serta tidak suka Maha Firaun.

Tetapi, bagi orang Melayu yang kurang Islamik atau kaum Cina-India bukan Islam, takkanlah mereka akan menyeberang ke kem Pas atau satu lagi parti oposisi, Dap; walaupun mereka ini menolak kerajaan Maha Firaun.

Diberitahu bahawa Ustaz Fadhil pernah menasihatkan Anwar supaya segera menubuhkan sebuah parti yang sesuai dengan citarasa-citarasa yang plural itu. Pas yang sedia ada tidak berupaya untuk menggamit minat kesemua mereka untuk bersama-sama parti Islam itu demi menentang Maha Firaun.

Ustaz Fadhil menghulurkan tangan untuk mencari korporat-korporat di dalam Pas bagi membantu niat menubuhkan parti itu.

Ibu negara menjadi pentas bantahan oleh anak muda Umno, korporat, pensyarah, guru-guru, peniaga, pemandu teksi berpuluh ribu keluar menyokong Anwar.

Anwar melaungkan REFORMASI. Kalimah itu menjadi begitu keramat dalam jiwa rakyat. Kalimah itu menjadi begitu gergasi di depan jiwa-jiwa pemerintah yang kontang dan hitam.

Namun, Anwar lama bergentayangan di luar. Leher Anwar akhirnya dijerut ke Kemunting dan Ustaz Fadhil keseorangan di luar.

Reformasi terus terlaung di kementerian, sekolah, hospital, stadium, bandaran, desaan; tetapi tiada suatu pentas untuk menyanggah kezaliman Maha Firaun.

Walaupun Ustaz Fadhil dan Anwar pernah berbincang menubuhkan sebuah parti, tiada apa-apa yang serius untuk menubuhkan parti yang baru itu.

Seorang aktivis Pas di Kedah, Ustaz Taib Ahmad pernah memberitahu saya bahawa cerita dan harapan menubuhkan parti antara Datuk Fadhil dan Anwar kemudiannya dibawa ke Pulau Batam, Indonesia.

Macam-macam nama dicadangkan untuk parti yang baru itu. Ada yang mencadangkan Hak atau Himpunan Anak-Anak Keadilan (HAK). Ada yang menjadangkan Parti Sejahtera, seperti di Indonesia.

Tetapi, akhirnya parti yang baru itu dimahsyurkan sebagai Parti Keadilan (Adil). Sekarang, sokongan dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) menjadikan parti itu dimahsyur semula sebagai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Walaupun Ustaz Fadhil adalah Presiden Pas, Adil cuba diakrapkan seperti seorang adik kepada seorang abang. Reformasi menjadi sumbu perjuangan dan Adil menjadi bekas yang membara perjuangan REFORMASI buat Anwar.

Meniti saat-saat cemas melihat Anwar dihantar ke Kemunting, Ustaz Fadhil sekali lagi melakukan sesuatu ijtihad siyasi yang begitu besar bagi sejarah gerakan Islam Pas.

Ustaz Fadhil menubuhkan Gerakan Menetang Kezaliman dan Memulihkan Demokrasi (GERAK) dengan mengajak Adil dan Dap bersma-sama Pas untuk menyertai koliasi itu.

Kepemimpinan utama Pas kebanyakannya marah kerana ijtihad tersebut kerana ijtihad itu tidak pernah dibawa secara musyawarah di kalangan Ulama dan kepemimpinan Pas.

Ustaz Fadhil memujuk emosi Pas atas hujahan agama dan ilmu.

Baru ahli-ahli Pas tercerah oleh sejarah Rasulullah s.a.w bertahalluf siyasi seperti dalam Perjanjian Hudaibiah dan Perjanjian Fudhul.

Rupa-rupanya ustaz Fadhil menubuhkan Gerak, terpijak atas nas syarak era nubuwwah.

Walaupun Maha Firaun tidak rebah menyembah bumi, Maha Firaun akhirnya mengetepikan dirinya demi menyelamatkan servival Umno BN.

Ustaz Fadhil bersama-sama kepemimpin Dap dan Pkr kemudiannya bersetuju menubuhkan Barisan Alternatif menggantikan Gerak menjelang Pilihan Raya Ke-10 (PRU10).

Masih segar, saya mengingatkan Pas diwakili oleh Ustaz Fadhil sendiri, isteri Anwar iaitu Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mewakili Adil.

Dap pula diwakili oleh Lim Kit Siang. Tidak ketinggalan juga adalah Parti Rakyat Malaysia (PRM) diwakili oleh Dr. Syed Husin Ali.

Orang Melayu yang menolak Maha Firaun boleh menerima kesederhanaan BA. Orang bukan Melayu juga selesa dengan sikap Pas, Dap, PKr dan Prm atas harapan BA mampu menggantikan BN.

Walaupun Parlimen gagal dikuasai oleh BA, BA berjaya merampas kerajaan negeri Terengganu dan mengekalkan mandat politik di Kelantan. Beberapa kerajaan negeri seperti Pulau Pinang, Perak dan Selangor nyaris-nyaris dikuasai oposisi.

Perlu diingatkan bahawa di dalam Pas pada waktu itu, Ustaz Fadhil senantiasa didampingi oleh dua orang Tok Guru – Mursyidul Am Pas Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalan Presiden Pas Tuan Guru Abdul Hadi Awang (sekarang Persiden Pas).

Setelah lebih tujuh tahun Ustaz Fadhil meninggalkan kita, saya bersyukur kerana Tok Guru Nik Aziz masih dilihat konsistan menentang seseorang yang mempunyai sifat seperti Maha Firaun yang dulu-dulu.

Saya tidak dapat membayangkan, kalau-kalau Tok Guru Abdul Hadi pula tiba-tiba menjadi seperti jelmaan Ustaz Fadhil dulu-dulu lalu memimpin Reformasi ke-2 yang sedang memutik sekarang.

Mampuslah Umno, Kapanlah Maha Firaun yang baru ini tidak lama lagi!

KEFAHAMAN ASAS PERUBAHAN

Oleh : Zainulfaqar Yaacob

0 comments:

Copyright © 2009 - Aku & Sesuatu - is proudly powered by Blogger
Smashing Magazine - Design Disease - Blog and Web - Dilectio Blogger Template