Peminta sedekah... relevankah?

15Mar2010


Peminta sedekah boleh dikatakan sebagai seseorang yang mempunyai kesempitan kewangan yang teramat sangat sehingga tidak boleh mengerjakan sebarang pekerjaan disebabkan oleh sesuatu yang menghalangnya seperti cacat dan sebagainya. Dalam Islam, bersedekah adalah sesuatu yang patut diamalkan malah dituntut kerana ia akan menbawa kebaikan terhadap seseorang yang bersedekah tersebut. Namun, kewujudan peminta sedekah ini menimbulkan persoalan…ke manakah perginya JABATAN KEBAJIKAN MASYARAKAT yang diwar – warkan membantu golongan yang kurang upaya samada cacat mahupun kesempitan hidup.

Kewujudan sesetengah rumah – rumah kebajikan dalam membantu golongan yang kurang bernasib baik ini adalah hasil titik peluh sesetengah insan yang prihatin dan dermawan yang sudi mencurahkan wang ringgit mahupun keringat dalam membantu mereka. Perkara seperti ini sepatutnya disyukuri kerana terdapat insan sedemikian yang sudi membelanjakan hasil titik peluhnya kepada rumah kebajikan yang telah ditubuhkan. Oleh itu, perkara seperti meminta sedekah ini tidak sepatutnya wujud di dunia yang serba membangun ini.

Sepatutnya, peminta sedekah yang berada di jalanan tidak wujud lagi kerana rumah – rumah kebajikan telah banyak ditubuhkan untuk membantu golongan sedemikian. Ada yang mengatakan mereka ini memerlukan pelbagai dokumen untuk menetap di rumah – rumah tersebut. Jika begitu, apakah tujuan utama rumah kebajikan ditubuhkan? Adakah ingin memungut dokumen atau mengambil golongan yang kurang bernasib baik ini?

Ada pula yang mengatakan bahawa terdapat sindiket yang menjalankan kegiatan haram seperti meminta budak – budak meminta sedekah. Jika sindiket haram, mengapa pihak berkuasa tidak menjalankan dan menggunakan kuasa mereka untuk mengelakkan kegiatan haram ini daripada berleluasa? Jika diamati, kanak – kanak yang meminta sedekah rata – rata bukan kanak – kanak Malaysia tetapi pendatang yang tidak diketahui asal – usul. Ada yang dari Nepal, India dan sebagainya.

Bagaimanakah kiranya terdapat satu gerakan dalam membasmi golongan yang kurang bernasib baik ini dengan menjalankan gerakan mengambil mereka yang meminta sedekah di jalanan mahupun jejantas dan menghantar mereka ini ke pusat – pusat kebajikan yang ada. Dalam masa yang sama, mereka ini haruslah menjalani pemeriksaan kesihatan agar mereka yang menghidap penyakit yang kronik dapat dikenal pasti terutamanya AIDS tidak disebarkan kepada warga yang menetap di rumah kebajikan tersebut.

Seperkara lagi, golongan yang kurang bernasib baik ini janganlah dianggap sama dengan insan yang mencari rezeki dengan bermain alat muzik di jalanan mahupun menjual kraftangan buatan sendiri. Mereka ini boleh diterima untuk berbuat demikian kerana mereka telah berusaha untuk mendapatkan sesuap nasi dengan titik peluh sendiri. Jadi, janganlah berfikiran negatif terhadap mereka yang bermain muzik di jalanan sambil mengharapkan ihsan daripada orang lain.

Kadang kala, jika difikirkan, rumah kebajikan ini dibiayai tetapi tidak ramai yang menghuni. Adakah mereka yang MENGURUSKAN DAN BUKAN PEMILIK rumah ini sengaja tidak mahu mengambil ramai orang kerana ingin mengurangkan kos perbelanjaan ataupun menyeleweng penggunaan wang yang diberikan? Ketahuilah bahawa insan yang memakan harta sedekah tanpa mengikut saluran yang betul akan dikeji oleh ALLAH S.W.T. Jikalau ini yang berlaku maka tidak hairanlah mereka ini teraniaya walaupun rumah kebajikan wujud untuk membantu mereka.

Oleh yang demikian, pemilik rumah kebajikan seharusnya memberi perhatian yang serius terhadap perkara ini agar insan yang sepatutnya dibantu dapat dibantu dengan cara yang betul.

Secara keseluruhannya, rumah kebajikan yang diasaskan oleh orang perseorangan adalah untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik. Jadi, pergunakanlah rumah kebajikan ini untuk membantu mereka agar dirahmati ALLAH kelak. Bagi pemilik pula, janganlah lepas tangan kerana mereka yang anda percayai mungkin tidak menjalankan apa yang anda harapkan. Harapkan kebaikan diakhirat, dapat pula balasan dipertimbangan.

0 comments:

Copyright © 2009 - Aku & Sesuatu - is proudly powered by Blogger
Smashing Magazine - Design Disease - Blog and Web - Dilectio Blogger Template